Memperkukuh perkongsian ekonomi, teknologi pertahanan, mengembangkan kerjasama



Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said





BERLIN, REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN, Isnin, 18 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Presiden Republik Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Frank-Walter Steinmeier.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menzahirkan penghargaan atas sokongan dan sumbangan Republik Persekutuan Jerman kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam (NBD) termasuk usaha sama Muara Maritime Services dan Lufthansa Technik dalam sektor penerbangan dan kejayaan operasi loji Brunei Fertilizer.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama Frank-Walter Steinmeier berbincang tentang penglibatan perniagaan yang akan datang termasuk lawatan ke syarikat-syarikat Jerman seperti Airbus dan peluang untuk peningkatan kerjasama perindustrian dan pertahanan, yang akan terus memperkukuh perkongsian ekonomi dan teknologi pertahanan dan mengembangkan kerjasama dalam sektor nano dan memanfaatkan hubungan sedia ada dalam industri Jerman.


Kedua pemimpin menyentuh tentang kesalinghubungan keselamatan di Asia Tenggara dan Eropah di tengah-tengah ketegangan global yang semakin meningkat, yang menekankan keperluan untuk kerjasama ASEAN-EU yang lebih mendalam untuk kestabilan serantau.


Kebawah DYMM juga menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat di antara NBD dan Republik Persekutuan Jerman di forum-forum antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Sehubungan itu, Kebawah DYMM mengulangi sokongan NBD terhadap pencalonan Republik Persekutuan Jerman bagi keanggotaan tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tempoh 2027-2028 serta merakamkan penghargaan atas sokongan Republik Persekutuan Jerman terhadap pencalonan NBD sebagai Naib Presiden Perhimpunan Agung PBB bagi tempoh 2028-2029.


Mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, Kebawah DYMM mengongsikan perkembangan terkini mengenai ASEAN dan menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap Timur Tengah terutamanya mengenai Palestin dan Lubnan dan mengesahkan kembali sokongan NBD terhadap Negara Palestin yang merdeka berdasarkan penyelesaian dua negara dan mempunyai sempadan pra-1967.


Baginda menaruh harapan bagi usaha berterusan daripada rakan kongsi Eropah untuk mengurangkan ketegangan dan untuk menyumbang kepada penyelesaian secara aman dan menegakkan prinsip-prinsip Piagam PBB.


Kebawah DYMM mengundang Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Jerman untuk mengadakan Lawatan Negara ke NBD.


Close